KOTA BHARU: Malaysia akan menjadi negara bercelaru jika Tun Dr Mahathir Mohamad diberi peluang sekali lagi menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, memberi contoh ketika era pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun, berlaku tragedi Memali 1985, krisis dengan Raja-Raja Melayu, pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tercetus gerakan reformasi.

Katanya, kini Dr Mahathir sering membuat pusingan U termasuk mendesak Anwar dibebaskan daripada penjara selepas mendakwa beliau adalah tahanan politik, sedangkan bekas Perdana Menteri itu sendiri bertanggungjawab menyingkirkan Anwar.

“Saya tidak nampak apa relevannya untuk memberikan semula kepercayaan kepada Dr Mahathir yang akan kembali menghancurkan negara.

“Malah, hari ini kita cuba membersihkan pelbagai ‘penyakit’ yang berpunca daripada zaman Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri.

“Justeru, kepemimpinan Dr Mahathir wajib ditolak seluruh rakyat negara ini dan memberi kepercayaan kepada PAS yang mengamalkan budaya politik matang untuk meneraju negara selepas PRU14,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.

Kepimpinan Mahathir Perlu Ditolak

Baru-baru ini, Dr Mahathir sekali lagi membuat pusingan U apabila membuat kenyataan bersama peguam hak asasi manusia dari Amerika Syarikat, Kimberly Motley mendesak supaya Anwar yang menjalani hukuman penjara segera dibebaskan selain sepakat mendakwa Anwar adalah tahanan politik.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan, berkata individu seperti Dr Mahathir boleh berbolak-balik bila-bila masa saja selepas melakukan banyak pusingan U.

“Kita tahu pakatan pembangkang tidak mempunyai tokoh dan memerlukan Dr Mahathir sebagai pemimpin tertinggi mereka untuk dijadikan sebagai rujukan.

“Sehubungan itu, pemimpin dalam pakatan pembangkang masih mempunyai masa untuk mengkaji semula Dr Mahathir (sebagai pemimpin tertinggi) dan jangan sampai mereka menyesal selepas ini,” katanya.