PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra bersama orang ramai dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan Perdana Menteri ke Parlimen Lipis di perkarangan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah semalam.
LIPIS 25 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara ini bakal mengalami bebanan hutang besar yang memudaratkan rakyat hanya dalam tempoh 100 hari sekiranya pembangkang mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menurut Perdana Menteri, berdasarkan kepada manifesto pembangkang yang turut mahu menghapuskan tol, negara boleh terjebak dalam lonjakan hutang sehingga RM1 trilion dan bakal memberi memberi kesan jangka panjang yang buruk.
“Apabila semak manifesto pembangkang, mereka janji dalam masa 100 hari hendak menghapuskan semua tol dalam negara yang mana akan menelan belanja sebanyak RM380 bilion. Anehnya, orang yang melafaz itu orang yang buat tol selama ini yang saya gelar dia sebagai bapa tol, dia pula hendak hapuskan tol yang dia buat.
“Cuba bayangkan hutang negara kita pada masa ini RM680 bilion atau 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), akan melonjak lebih RM1 trilion dalam masa 100 hari menyebabkan kita negara yang berhutang dengan beban terpaksa ditanggung oleh rakyat dan generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan projek Central Spine Road (CSR) Seksyen 3E2 Merapoh ke Kampung Kubang Rusa, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Projek pembinaan laluan empat lorong sepanjang 14 kilometer dengan kos RM140 juta itu mula dibina pada 17 Mac 2015 siap sepenuhnya pada 14 Mac lalu.
Menurut Najib, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang meletakkan negara di ambang ‘advance economy’ pada masa ini berjaya menguruskan negara dengan penuh tanggungjawab tanpa menggadaikan masa depan rakyat dengan janji populis.
Kata beliau, kejayaan yang dicipta BN dalam membangunkan negara secara inklusif adalah kerana tidak hanya memfokuskan kepada usaha jangka pendek tetapi mengambil kira jangka masa panjang demi manfaat setiap generasi.
“Kita juga urus negara dengan penuh tanggungjawab, kita tidak korbankan masa depan negara untuk mencari populariti atau meraih undi jangka pendek sahaja,” katanya.
Perdana Menteri berkata, manifesto yang dibentangkan oleh BN merupakan aku janji yang inklusif dan diiktiraf oleh pelbagai pihak kerana berupaya membangunkan negara serta realistik.
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan projek CSR sepanjang 350 kilometer yang menghubungkan Simpang Pelangai di Bentong ke Kuala Krai menunjukkan komitmen dan kemampuan kerajaan BN dalam membangunkan kawasan luar bandar.
“Projek CSR yang bernilai RM11 bilion masih belum siap sebanyak 65 peratus yang mana hanya RM2.2 bilion dibelanjakan dan akan diteruskan,” katanya.