Laporan polis yang dibuat isteri Peguam Negara, Puan Sri Faridah Begum Abdul Kader berhubung artikel memfitnah dirinya yang ditulis oleh Raja Petra Kamarudin di portal Malaysia Today akan disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Luthfi Abdullah berkata, kes itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan akan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada Raja Petra akan dipanggil memberi keterangan, Mohd. Luthfi menjelaskan, keputusan tersebut akan dibuat oleh USJT.
Semalam, Faridah Begum membuat satu laporan polis di Balai Polis Desa Sri Hartamas berkenaan artikel fitnah tersebut.
Menerusi artikel itu, Raja Petra mendakwa Faridah Begum sebagai seorang yang cuba menggunakan kuasanya sebagai isteri kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk membuat keputusan di dalam pejabat Peguam Negara.
Faridah menurut artikel itu dikatakan memanggil pegawai-pegawai di Pejabat Peguam Negara untuk memberi arahan mengenai apa yang perlu dilakukan dan siapa yang perlu diberi perhatian.
Malah, artikel itu juga mengatakan Faridah Begum bersama adiknya mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) menerusi portal The Malaysian Insight yang dimiliki oleh mereka.
Dalam pada itu, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) pada 29 Januari lalu menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan pemilik portal The Malaysian Insight kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tujuan siasatan di bank pusat itu.
Presidennya, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya telah dipanggil secara rasmi oleh BNM supaya menyerahkan kesemua dokumen sokongan setebal 12 helai itu yang mengandungi profil syarikat dan transaksi kewangan meragukan pemilik portal itu.
Azwanddin berbuat demikian selepas mendedahkan mengenai kemasukan wang hampir RM3 juta ke dalam akaun Inside Media Sdn. Bhd. (Inside Media) yang merupakan pemilik portal The Malaysian Insight.